LIVE @WARTARAKYAT

Friday, 27 July 2012

Rahsia Kebesaran Ramadhan Yang Perlu Diketahui!!!



Sebut mengenai bulan Ramadan al-Mubarak, pasti mendatangkan 1001 persoalan dalam diri masing-masing sebagai muslim dan mukmin. Mungkin ada yang akan bertanya, sudah bersediakah diriku menyambutnya? Atau mungkin ada yang tidak sabar-sabar menanti ketibaanya. Atau mungkin ada yang menganggap tidak kisah pun mengenai kedatangan Ramadan. Tanya iman, di manakah diri kita?
Tidak salah jika dikatakan Ramadan al-Mubarak ini seperti majlis walimatul urus, pasti seisi keluarga dan jiran terdekat, sibuk menyiapkan persiapan terakhir menjelang tarikh tersebut. Riuh satu kampung dengan kemeriahan menyambut majlis besar seperti itu. Namun, bagaimana pula dengan persediaan kita menyambut sebaik-baik bulan ini? Adakah seperti menyambut menantu atau seperti bertemu dengan hantu? Membelai-belai tetamu atau menghalau-halau seteru?
Satu perkara menarik yang ingin disentuh adalah mengenai sikap dan perlakuan kita terutamanya yang bergelar perempuan. Tiba bulan ini, pasti kaum Hawa menjadi golongan yang sibuk meraikannya. Ramadan Kareem dan kaum Hawa ibarat isi dengan kuku. Terlalu hampir dan dekat. Tidak dapat dipisahkan kedua-duanya. Apakah yang sering membelenggu kaum Hawa apabila tibanya bulan mulia ini?
Kefardhuan Puasa Ramadan
Pensyariatan berpuasa di bulan Ramadan telah disebut Allah s.w.t sepertimana firmanNya yang bermaksud:- 
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" 
(Surah Al-Baqarah ayat 183)
Jelas, dalam ayat ini perkataan 'taqwa' disebut selepas perintah kewajipan berpuasa. Orang-orang yang bertaqwa adalah mereka yang berpuasa. Namun belum tentu orang-orang yang berpuasa adalah orang yang bertaqwa. Jika kita lihat, ada orang yang berpuasa, tetapi tidak menunaikan solat, mengutamakan ibadah sunat dari ibadah fardu dengan meninggalkan solat yang lima waktu tetapi menunaikan solat sunat tarawih. Ada pula yang berpuasa tetapi enggan membayar zakat.
Adakah hanya dengan berpuasa, maka Allah mengira mereka ini adalah orang yang bertaqwa? Bagaimana ukuran taqwa yang dimaksudkan Allah Ta'ala dalam ayat ini? 
Taqwa itu tempatnya di hati. Bukan hati kering, tapi hati yang sihat yang dapat merasai bencinya melakukan kemungkaran dan seronoknya melakukan kebajikan. Hatinya sensitif dengan dosa dan dahagakan kebaikan. Telah dinukilkan sebuah kisah oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya mengenai kisah Saidina Umar al-Khattab.
Suatu hari, Saidina Umar al-Khattb bertanya kepada sahabatnya, Ubai bin Ka'ab mengenai makna taqwa dan persoalan itu dibalas dengan persoalan.
Ubai berkata kepada Syaidina Umar, "Ya Amirul mukminin, pernahkah engkau melalui satu jalan berduri?" .   
"Pernah." Jawab Syaidina Umar.
Lantas Ubay bertanya lagi kepada Syaidina Umar. "Bagaimana kamu lakukan ketika melalui jalan itu?"

"Aku akan sentiasa bersedia, peka dan berhati-hati dengan penuh usaha agar tidak terpijak duri." Jawab Syadina Umar. 
" Maka itulah juga sifat taqwa" ( Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/163)
Terang lagi bersuluh, betapa sifat taqwa di dalam kisah ini bermula dari sekeping hati. Hati yang merasa takut pastinya akan lebih berhati-hati dan berjaga-jaga agar tidak akan terjerumus di dalam kebinasaan.Walaupun perkara itu hanyalah makhruh dan tidak mendatangkan dosa, namun hatinya tetap merasa gerun dan berhati-hati daripada melakukan perkara tersebut. Bimbang dirinya akan terjerumus melakukan perkara-perkara yang haram. Begitulah hati orang-orang yang 'muttaqin'

Maka perlulah kita mengambil kisah ini sebagai iktibar untuk kita agar sentiasa berhati-hati dalam apa jua tindakan kita, kerana dari tindakan kita itulah yang menentukan samada kita mampu menempah bilik untuk di syurga atau bilik yang lain yang berada di neraka. Jadikanlah Taqwa itu umpama pakaian kita. Yang menjaga badan kita daripada tercalit dengan dosa dan noda. Bukankah pakaian itu bersifat melindungi. Maka, demikianlah Taqwa, melindungi diri kita daripada disentuh dengan api neraka.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
""Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian TAQWA itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat" 
(Surah al-A'raf ayat 26)
Bina Iman Raihlah Taqwa
Bagi orang beriman, bulan Ramadan akan dianggap bulan 'bonus', sekiranya digunakan sebaik mungkin, besar manfaatnya. Pelbagai ganjaran dan kebaikan diberikan kepada umat Islam di bulan ini. Setiap amalan-amalan sunat yang dilakukan, pasti akan digandakan pahalanya seperti dinyatakan di dalam hadis qudsi:
"Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" 
(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Madrasah Ramadan al-Mubarak adalah sebaik-baik bulan untuk kita menambah debit berupa pahala di dalam akaun amalan kita. Kita berlumba-lumba mengerjakan kebajikan dan kebaikan dengan tekad ingin memenuhkan tabung kehidupan semata-mata. Maka ganjaran pahala dalam melakukan ibadat sunat dan perbuatan sunnah kita gandakan lagi. Bukan sukar untuk kita mendapat bonus dalam bulan ini.
Namun, ramainya manusia lebih mengumpul 'bonus' jualan dan 'diskaun' barangan. Berlumba-lumba menambah tabungnya dengan wang dan harta. Ramadan sebagai bulan membina iman da taqwa dipandang sebelah mata. Perilaku mulia tidak disemai di dalam diri dan peribadi, lantas nilai taqwa tidak dapat menyelam dalam dasar hatinya. Perkataannya sia-sia, apatah lafaz kalamnya jauh dari membaca Al-Quran dan zikrullah. Puasanya semata-mata hanya pada menahan lapar dan dahaga sahaja.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada umatnya :
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" 
(Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari)
 'Mencemar Duli' Kemuliaan Ramadan
Terdapat sesuatu yang sering dipandang 'sepi' apabila tibanya Ramadan terutama umat Islam di Malaysia ini. Apabila tiba sahaja musim Ramadan, kaum Hawa adalah antara orang yang paling sibuk meraikannya. Walaupun baru beberapa hari menjelma, sudah mula memikirkan perkara-perkara skunder. Persiapan tema warna baju raya, kuih raya yang pelbagai, keadaan rumah, rumah terbuka dan kelengkapan raya yang lain laju melintasi garisan penamat berbanding perkara primer. Manakala perkara primer seperti solat sunat tarawikh, khatam al-Quran, konsisten dengan sahur, hafazan Al-Quran, qiamullail dan sebagainya pula kadangkala diendahkan dan diketepikan. 
Bukan hendak pertikai sikap ini namun perkara ini perlu seiring dengan merebut taqwa Ramadan. Saban tahun, gaya hidup wanita di Malaysia khususnya, dilihat serupa dan sukar untuk diubah. Kadang-kadang, fokusnya lebih kepada berbisnes sehingga mengabai 'bonus-bonus' pada bulan ini. Sibuk dengan tempahan kuih raya, baju raya, langsir raya dan kelengkapan raya yang lain, sehingga malam Ramadan al-Mubarak tidak disinari nur dengan amalan-amalan ibadah sunat.
Kadang-kadang, alasan 'tidak sempat dan penat' untuk berjemaah solat sunat tarawih dek kesibukan yang melanda, juga sering didengari. Jika ke bazar Ramadan, perginya hanya berteman beg dan dompet. Baliknya pula hampir keselurahan jari penuh dengan makanan berbuka.Tangan kanan dan kiri, penuh dengan beg plastik merah. Padahal di bulan Ramadan itulah adanya tarbiyah untuk kita lebih mengingati insan yang lebih memerlukan. Memahami keperitan insan yang serba kekurangan. Mendidik diri untuk lebih banyak memberi.
Namun, mengapakah tabiat ini sukar diubah di Malaysia? Adakah kerana waqi' di Malaysia tidak seperti suasana di negara-negara Arab?
Semuanya adalah kerana Hati kita belum dididik sepenuhnya dengan kelebihan Ramadan. Lantas, madrasah tarbiyah di bulan Ramadan tetap dicemari dengan sikap dan sifat kita yang sama sebelum datangnya Ramadan. 

Malaysia : Kaya makanan daripada amalan
Teringat pada musim puasa tahun lepas, 1432 H, saya menerima panggilan telefon daripada sahabat yang menunutut ilmu di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau menceritakan 'kehangatan' orang-orang sana menyambut bulan yang penuh barakah itu. Anak kecil memasang 'lampu kelip-kelip' di setiap rumah mereka, bermain mercun dan berkongsi kegembiraan itu bersama teman-temannya, sehingga ke awal Subuh. Subhanallah...
Jika diteliti hasil dari penceritaan tadi, jelas menunjukkan bangsa Arab lebih meraikan Ramadan Kareem,  sebaliknya umat Islam di Malaysia khususnya bangsa Melayu meraikan Hari Raya Aidil Fitri lebih meriah berbanding bulan Ramadan. Cukup berbeza.
Jika di Afghanistan, umat Islamnya mati disebabkan kelaparan dek kekurangan sumber makanan. Namun berbeza sekali di Malaysia,penuh dengan lambakan makanan sehingga boleh mengundang penyakit dan menyebabkan kematian. Banyaknya makanan meningkatkan nafsu dan selera makan. Tanpa sedar iainya memudaratkan kesihatan seperti tinggi kolestrol, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.
Kawalan hebat pada musim puasa ini, dilihat kurang memberi kesan, sehingga ada pihak tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa untuk menutup kedai makanan semasa musim puasa. Sekiranya ramai pihak memain peranan, mana mungkin ada kes dicekup dek makan tengahari dan sebagainya.
Rancangan-rancangan yang dipaparkan di kaca televisyen juga menggalakkan budaya berhari raya semasa awal musim Ramadan. Cukup kuat nafsu semasa musim bulan Ramadan al-Mubarak ini. Kaum hawa sibuk ber'shopping' raya dan anak-anak pula sibuk merancang peperangan mercun sesama mereka. Kemudian, akhbar-akhbar laris dengan kisah-kisah rumah terbakar asbab api mercun, isteri tuntut cerai kerana suami gagal membagi nafkah, murid hilang jari dan sebagainya. Semakin parah kondusi adab dan akhlak rakyat Malaysia kini. Hanya kerana ingin nampak meriah di hari raya. 
Kesimpulan
Oleh itu, marilah kita raih Ramadan dengan memperbaiki ibadah wajib dan memperbanyakkan ibadah sunat. Tingkatkan pekerjaan positif, kurangkan tabiat negatif dalam Madrasah Tarbiyyah, mendidik jiwa ini. 
Bulan Ramadan al-Mubarak ini juga adalah bulan yang sesuai untuk meningkatkan kemesraan dalam keluarga seperti berbuka puasa bersama-sama, bersahur, solat berjemaah dan sebagainya. Seorang suami yang keluar mencari nafkah, dan seorang isteri mengurusi keperluan dan kehendak keluarga, serta anak-anak yang setia membantu ibu bapanya, pasti semuanya Allah berikan ganjaran pahala yang berlimpah ruah. 
Madrasah tarbiyyah di bulan Ramadan, jangan biarkan berlalu begitu saja. Sesungguhnya sangat rugilah bagi mereka yang mensia-siakan peluang dan kesempatan yang ada. Maka, jadikanlah Ramadan kali ini, Ramadan yang cukup bermakna untuk kita.
Wallahu'alam....

No comments:

Suapan Agama

Tapak Rujukan

Hiburan Dan Sukan

Followers

Info & Maklumat Untuk Dikongsi


nirlestari@mail.com

PM created on 3rd December2011,
achieve first 3,000,000 viewers on 8th May 2013