LIVE @WARTARAKYAT

Friday, 2 November 2012

Kajian Semula Kenaikan Gaji Hanya Melibatkan Kakitangan Yang Sudah Mencapai Gaji Maksima


KUALA LUMPUR - Cuepacs berkata kajian semula gaji kakitangan yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa semalam, hanya melibatkan 20 peratus penjawat awam yang sudah pun mencapai paras gaji maksimum.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah itu memandangkan kira-kira 20 peratus daripada 1.3 juta kakitangan awam sudah pun mencapai tahap maksimum dan mereka harus diberi perhatian supaya tidak ketinggalan.

Sehubungan itu kata beliau, laporan media bahawa kajian semula melibatkan keseluruhan kakitangan awam tidak benar.

"Hanya mereka yang sudah capai tahap gaji maksimum. Dua puluh peratus ini harus diberi keutamaan.

"Cuepacs mengharapkan kenaikan dua hingga lima peratus kepada kakitangan awam yang sudah berada pada tangga gaji maksimum. Mereka ini akan mengalami penurunan gaji dua peratus apabila skim gaji penjawat awam dikaji semula (kelak)," katanya kepada Sinar Harian Online.

"Kita mengalu-alukan dan harap kajian semula dilakukan kepada yang sudah ada gaji maksimum.

Jelas beliau, sebahagian besar kakitangan terbabit berada di peringkat maksimum, antara lain kerana menerima kenaikan gaji atas prestasi cemerlang mereka semasa berada di bawah Sistem Saraan Baru dan Sistem Saraan Malaysia.

"Dulu mereka cemerlang dan dapat kenaikan gaji, sekarang ketinggalan di belakang... keadaan ini perlu dibaiki," katanya.

Malah Azih juga berkata, pihaknya telah dijelaskan oleh Ketua Setiausaha Negara pagi tadi bahawa kajian semula hanya melibatkan penjawat di peringkat gaji maksimum.

"Dua puluh peratus ini melibatkan semua kategori jawatan," katanya lagi.

Cuepacs menyasarkan kenaikan dua hingga lima peratus untuk mereka yang sudah mencapai gaji maksimum dapat dilaksanakan tahun hadapan.

Laporan media semalam memetik Ali berkata, kajian semula akan dilakukan ke atas skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun hadapan.

"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan menyelaraskan semula," ujar beliau.

Kerajaan juga katanya, akan meneliti segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji maksimum.

Cuepacs sebelum ini menuntut kerajaan menaikkan gaji penjawat awam antara RM700 hingga RM2,500 untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Menurut Presidennya, Datuk Omar Osman, kerajaan juga harus menimbang penjawat awam yang berada di tangga gaji tahap maksimum atau pada tangga gaji mati perlu dibayar tunggakan kenaikan tahunan selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan selain perlu dinaikkan gred sebelum membuat pembaharuan dalam skim sedia ada.-sinar harian

No comments:

Suapan Agama

Tapak Rujukan

Hiburan Dan Sukan

Followers

Info & Maklumat Untuk Dikongsi


nirlestari@mail.com

PM created on 3rd December2011,
achieve first 3,000,000 viewers on 8th May 2013